[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Gubal undang-undang had maksimum kenaikan premium insurans kesihatan - Penganalisis

Irfan Faruqi 23/05/2025 | 13:08 MYT
Syed Mohamed dalam program Dialog Poket Rakyat berkata satu undang-undang khusus perlu digubal untuk mengehadkan kenaikan maksimum premium insurans kesihatan dalam negara. - Gambar hiasan/DagangNews
KUALA LUMPUR: Satu undang-undang khusus perlu digubal untuk mengehadkan kenaikan maksimum premium insurans kesihatan dalam negara.

Ringkasan AI
  • Pakar mencadangkan undang-undang khusus digubal bagi menghadkan kenaikan premium insurans kesihatan agar tidak membebankan pengguna.
  • Bank Negara Malaysia digesa kawal selia syarikat insurans, manakala Kementerian Kesihatan ambil langkah seperti pelaksanaan DRG untuk kawal inflasi kos perubatan.
  • Premium insurans dijangka naik hingga 70% akibat kos rawatan tinggi, namun proses penyelesaian isu ini dijangka ambil masa panjang.

Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan IMU University dan Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid berkata ini merupakan sebahagian amalan terbaik global dalam menangani inflasi kos kesihatan.
“Saya pernah kemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya mengawal selia insurans kesihatan swasta mengikut amalan terbaik. Jika dibandingkan dengan negara-negara 50 buah negara Eropah, yang rata-rata menunjukkan peningkatan kadar premium yang tidak lebih daripada tiga ke empat peratus sahaja.
“Ada undang-undang di sana yang mewajibkan syarikat insurans swasta untuk tidak mengira kadar premium berdasarkan pengiraan penarafan risiko. Sedangkan kita menggunakan penarafan risiko yang mana apabila kita ada penyakit-penyakit berisiko tinggi, maka premium akan jadi lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program 'Dialog Poket Rakyat' pada Jumaat.
Dalam temu bual yang sama Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T. Saravanan pula berpandangan BNM perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat insurans kesihatan agar tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna.
"Kita perlu ubah undang-undang kita supaya pengguna dilindungi. Jika kita gagal kawal selia, selama-lamanya mereka (syarikat insurans) akan ambil kesempatan.
“Keperluan untuk wujudkan skim tertentu, kita serahkan kepada kerajaan memandangkan kerajaan lebih tahu apa yang baik untuk rakyat,” ujarnya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib pula, beliau menyangkal kenyataan Saravanan dengan menyatakan bahawa pengguna tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk mencorak sistem kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat.
“Tidak begitu bersetuju. Kerajaan tidak semestinya tahu perkara yang terbaik untuk rakyat. Rakyat perlu memberi pandangan.
“Kita lihat kuasa dan mandat yang diberikan kepada BNM sebenarnya terhad. BNM tidak ada kuasa untuk tentukan kadar insurans atau premium yang dikenakan. Premium ditentukan oleh pasaran terbuka,” jelasnya.
Pada November lalu, media melaporkan premium insurans perubatan dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun depan, menyebabkan sesetengah pemegang polisi tiada pilihan selain mempertimbang menamatkan polisi mereka kerana peningkatan kos bulanan premium.
Sementara itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia dalam kenyataan bersama sebagai reaksi keapda laporan tersebut menyatakan penetapan harga semula premium adalah langkah yang tidak dapat dielak.
Katanya, industri insurans dan takaful Malaysia menyaksikan kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah terjadi sebelum ini sebanyak 56 peratus dari 2021 hingga 2023 disebabkan peningkatan kos rawatan perubatan dan kemajuan teknologi kesihatan.
Susulan itu, pada 28 November, BNM telah mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Pada 14 Februari tahun ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan Prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam bagi merungkai permasalahan ini.
Namun, Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding itu dijangka mengambil masa panjang sebelum melengkapkan laporan komprehensif.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian langkah untuk mengatasi inflasi perubatan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah agresif menangani isu inflasi perubatan yang menyebabkan kenaikan premium insurans kesihatan.
Menurutnya, antara langkah yang diambil adalah menerusi pendekatan DRG (kumpulan berkaitan diagnosis) yang bakal dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit sekali gus membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.
#Dzulkefly Ahmad #Inflasi #KKM #premium insurans