BUTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu sebuah gudang penyimpanan alat permainan seks di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum merampas pelbagai alat permainan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Nik Yusaimi Yusoff, berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian PKK menerusi Ops Maya pada 15 Februari lalu hasil pemantauan di laman jualan secara dalam talian.

Hasil risikan mendapati premis berkenaan menjadi pusat penyimpanan dan pengedaran pelbagai alat mainan seks yang beroperasi sejak tahun lepas.

Nik Yusaimi berkata, alat permainan seks berkenaan dipasarkan secara dalam talian susulan mendapat permintaan tinggi pelanggan.

“Siasatan mendapati 22,929 unit alat permainan seks itu diimport dari negara China dan dijual di atas talian pada harga diantara RM70 hingga RM450 bagi seunit permainan,” katanya.

Antara barangan yang dirampas terdiri patung berunsur seks, pelbagai peralatan seks serta alat permainan seks yang dilarang di negara ini,” katanya pada sidang media di pejabat KDN Pulau Pinang hari ini.

Ops Maya katanya bertujuan untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembelian alat permainan seks yang dilarang kerana berlawanan dari segi moral dan budaya negara ini.

Susulan serbuan berkenaan, seorang wanita berusia 29 tahun ditahan dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2 Mac lalu dan dikenakan denda RM5,000.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar atau menjual barang-barang lucah.

Nik Yusaimi berkata, KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat elemen memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan menggemparkan fikiran orang ramai yang berlawanan dengan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan menyeru memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan penjualan dan pengedaran alat mainan seks dengan menghubungi pihak KDN di talian 03-80008000 atau laman web KDN di www.moha.gov.my.