Gudang sisa bahan kimia di Bukit Pelanduk musnah dalam kebakaran

Bernama
April 12, 2024 21:15 MYT
Asap tebal menyelubungi ruang udara sekitar kawasan Sendayan berikutan tempat simpanan sisa bahan kimia berjadual di Cenviro Sdn Bhd (Pusat Kualiti Alam). - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Sebuah gudang sisa bahan kimia berjadual milik Cenviro Sdn Bhd di Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelanduk, Port Dickson musnah dalam kebakaran petang Jumaat.
Penolong Penguatkuasa Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Muhammad Syazwan Tajuddin berkata gudang di Pusat Kualiti Alam tersebut berkeluasan 100x100 kaki persegi itu musnah sama sekali.
"Pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 6 petang Jumaat, empat pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 66 anggota.
"Kebakaran dapat di kawal jam 8.30 malam dan ketika ini kerja-kerja memadamkan kebakaran masih dijalankan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Tinjauan Bernama mendapati kebakaran itu menyebabkan asap hitam dan tebal kelihatan pada petang Jumaat namun pihak media tidak dibenarkan berada berdekatan di kawasan tersebut.
-- BERNAMA
#gudang sisa bahan kimia #kebakaran #JBPM #asap tebal