KUALA LUMPUR: Guizhou, sebuah wilayah di barat daya China, sedang menampilkan dirinya sebagai destinasi baharu untuk pelancong Malaysia dengan mengajak mereka meneroka pemandangan semula jadi yang menakjubkan serta kekayaan warisan budayanya menerusi siri Discover Guizhou.
Timbalan Pengarah Pusat TV Satelit dan Pusat Komunikasi Antarabangsa Stesen Radio dan Televisyen Guizhou Huang Bei berkata Guizhou, yang terkenal dengan landskap karsnya yang unik, menawarkan peluang kepada pengunjung untuk bukan sekadar melawat tempat-tempat menarik, malah merasai sendiri cara hidup masyarakat tempatan.
Beliau berkata pelancong boleh menginap di kampung tradisional, meneroka warisan budaya tidak ketara, menikmati teh tempatan di tengah-tengah ladang yang indah serta menyelami kehidupan seharian masyarakat tempatan.
Beliau berkata wilayah itu juga menjalin hubungan budaya yang erat dengan Malaysia menerusi perjanjian hubungan persahabatan antara Pekan Purba Qingyan di Guiyang dan Jonker Walk di Melaka.
“Persamaan budaya ini mewujudkan rasa mesra dan dekat secara semula jadi, khususnya bagi pelancong berketurunan Cina dari Malaysia,” katanya kepada Bernama menerusi penterjemah selepas pelancaran siri “Discover Guizhou, China-Malaysia Cultural Tourism and Audiovisual Exchange Journey” di Pavilion di sini semalam.
Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia Muhammad Haqim Mohd Farid Ridzwan Lee.
Huang berharap aktiviti promosi siri Discover Guizhou yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur dari 25 Ogos hingga 8 Sept dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengenali wilayah itu.
Siri berkenaan termasuk Guizhou Cultural Street di Pavilion yang mempamerkan aksesori, hasil kraf, pakaian, hiasan kepala dan masakan Guizhou.
Beliau turut mengetengahkan iklim musim panas Guizhou yang nyaman dan agak kering sebagai satu lagi tarikan utama kepada pelancong dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Huang berkata Guizhou turut menjadi tempat tinggal komuniti etnik seperti masyarakat Miao dan Dong yang memiliki budaya dinamik yang terus diamalkan hingga kini. Sebagai contoh, di Kampung Miao Xijiang Qianhu, pengunjung berpeluang menyertai penduduk tempatan dalam tarian tradisional lusheng.
“Suasana mesra dan penuh keramahan ini membuatkan pengunjung cepat berasa seperti di rumah sendiri serta memberikan pengalaman mendalam dalam menyelami budaya tempatan,” katanya.
Mengenai pilihan makanan halal untuk pelancong Muslim dari Malaysia, Huang berkata makanan halal boleh didapati di Guizhou, khususnya di bandar utama seperti Guiyang dan Anshun. Pelancong Muslim boleh mendapatkan pelbagai hidangan halal Cina, masakan Xinjiang serta pilihan makanan antarabangsa.
“Sesetengah hotel bertaraf tinggi juga semakin peka terhadap keperluan pemakanan tetamu Muslim, dengan beberapa daripadanya menyediakan pilihan hidangan halal atas permintaan,” katanya.
-- BERNAMA