SEMALAM, kecoh dalam kalangan pengguna media sosial apabila dikhabarkan ada satu jenama gula-gula yang mengandungi unsur babi tetapi mempunyai tanda halal pada pembungkus.

Menerusi ciapan yang dihantar oleh sebuah akaun di sebuah Twitter itu, kelihatan ‘gelatin babi’ tercetak dalam senarai bahan-bahan selain bahan-bahan lain yang biasa digunakan bagi pembuatan gula-gula.

Hal ini bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan netizen tertanya-tanya, bagaimanakah gula-gula tersebut boleh dijual di pasaran.

Lebih membimbangkan, gula-gula berkenaan juga dijual dengan terbuka di sebuah platform beli-belah online.

Menerusi ruangan balas, kelihatan netizen berbincang mengenai perkara berkenaan dan mencadangkan supaya laporan kepada pihak berwajib dibuat.

“Kena check logo tu. Logo halal itu bukan logo yang diiktiraf oleh Jakim. Nampak sangat mereka letak sahaja logo di situ. Buat laporan,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan Gempak di laman Facebook Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), satu kenyataan tentang gula-gula tersebut telah dikeluarkan.

Menerusi kenyataan berkenaan, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim. Justeru, penggunaan logo halal tersebut adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.