MALAYSIA

Guna dokumen palsu: Pengurus syarikat warga Bangladesh didenda RM38,000

Bernama 22/10/2025 | 13:20 MYT
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Nazmul Islam Babul, dan memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat warga Bangladesh didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi menyediakan buruh untuk kerja pembinaan tapak projek menggantikan jambatan, dua tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Nazmul Islam Babul, 58, dan memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Md Nazmul Islam didakwa menggunakan Surat Perjanjian Subkontrak Syarikat Mar Melor Construction dan Nieha Enterprise Sdn Bhd bagi menyediakan buruh untuk kerja pembinaan di tapak Projek Menggantikan Jambatan FT067/045/90, Baling, Kedah, dengan nilai kerja berjumlah RM6 juta bertarikh 20 Mac 2023, yang diketahui tertuduh sebagai palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen di Putrajaya pada 8 Jun 2023, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) M.Esther Jacyntha memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira jumlah nilai kerja bagi subkontrak yang diberikan kepada Jabatan Imigresen adalah RM6 juta.

Peguam Hanif Asyraf Mohd Salleh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya berusia 58 tahun dan menanggung keluarga.

-- BERNAMA




#Bangladesh #SPRM #Mahkamah Sesyen #hukuman denda