IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan sebuah lori yang menggunakan dua nozel untuk mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Seorang pemandu lelaki warga tempatan berumur 40-an tahun juga ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya turut menyita 1,137 liter cecair yang disyaki minyak diesel, lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam dan wayar 'hose' yang dianggar bernilai RM22,085.55.

Menurutnya, operasi dilakukan kira-kira jam 9 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh, Tapah.

“Operasi ini adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Cawangan Tapah selama satu minggu di sekitar Jalan Temoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, ditemui dua nozel sedang berada di tangki lori muatan satu tan.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori yang telah diubah suai dengan sambungan paip terus ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori.

“Sekali pengisian di stesen minyak tersebut, dianggarkan sebanyak 1,000 hingga 1,500 liter,” ujarnya.

Kamalludin berkata, siasatan awal juga mendapati, pemandu lori kemudiannya akan menjual minyak diesel ini kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Tapah, pada harga yang lebih tinggi.

Tambahnya, diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 seliter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3.00 hingga RM4.00 seliter (mengikut harga pasaran minyak diesel industri).

Menurutnya, semakan awal juga mendapati syarikat pemilik lori itu tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.

Di samping itu, katanya, stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.