MALAYSIA

Guna logo halal tanpa kebenaran, KPDN Kedah serbu kilang proses makanan

Bernama 20/10/2025 | 07:15 MYT
Serbuan bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah turut melibatkan pemeriksaan perakuan dan penandaan halal serta status pensijilan premis terbabit.
SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu kilang sebuah syarikat memproses makanan di sini yang dikesan menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa pada produk keluaran mereka.


Ringkasan AI
  • KPDN Kedah menyerbu kilang memproses makanan di Bedong yang dikesan menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa pada produk seperti mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe.
  • Serbuan bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah turut melibatkan pemeriksaan perakuan dan penandaan halal serta status pensijilan premis terbabit.
  • Produk yang disita dianggarkan bernilai RM87,057 dan kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.


Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dijalankan ke atas kilang pembuatan mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe di Bedong dan stor simpanan di Jalan Angsana, pada 11 pagi semalam.

Beliau berkata operasi bersepadu KPDN Kedah bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah itu, merangkumi pemeriksaan perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal, serta penguatkuasaan di bawah akta KPDN.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke atas produk dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kilang berkenaan memproses produk makanan terbabit dalam pelbagai saiz dan dipercayai diedarkan ke pasaran di seluruh negara.

Muhammad Nizam berkata sitaan turut dibuat terhadap produk berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM87,057.

"Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya.

-- BERNAMA


#kpdn #Kedah #logo halal #Bedong