MALAYSIA

Guna MyKad, dapat harga lebih murah - Ibu tunggal penerima SARA

Bernama 03/08/2025 | 03:30 MYT
Ibu tunggal, Nor Laily Azura Sidek @ Ali,(kanan) dan kakaknya, Noraini ketika membeli barangan keperluan harian dengan menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) semasa ditemui di sebuah pasaraya, baru-baru ini. - Gambar Bernama
KUALA NERUS: Penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad bukan sahaja memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, tetapi turut membuka ruang kepada penerima menikmati harga promosi khas di pasar raya terpilih.

Berkongsi pengalamannya, Noraini Sidek @ Ali, 49, ibu tunggal kepada empat anak berkata, terdapat beberapa pasar raya di daerah itu yang menawarkan harga lebih murah kepada penerima SARA, apabila mereka membuat pembayaran menggunakan MyKad.

"Mungkin bila guna MyKad, pihak pasar raya tahu siapa penerima SARA. Sebab itu mereka tawar harga promosi untuk bantu golongan B40 seperti kami. Jadi dengan cara ini saya rasa bantuan memang sampai kepada penerima yang benar-benar layak," katanya kepada Bernama.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan selain menerima bantuan daripada kerajaan negeri berkata, bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan yang diterima sejak April menjadi sokongan tambahan yang amat membantu untuk membeli barangan keperluan asas.

"Dapat la saya berjimat dan menyimpan sedikit wang setiap bulan kerana tidak perlu memikirkan belanja dapur lagi," katanya yang masih perlu menyara anak bongsunya yang masih bersekolah.

Sementara itu, adik Noraini, Nor Laily Azura yang juga penerima SARA berkata, pembelian menggunakan MyKad, membuatkan dirinya lebih selamat dan yakin setiap kali keluar membeli barang dapur.

"Saya ini ibu tunggal yang ke hulu dan ke hilir seorang diri. Kalau bersama anak pun, mereka masih kecil. Jadi dengan SARA ini saya tidak perlu bawa kad bank atau wang tunai yang banyak, cukup bawa MyKad sahaja, rasa lebih selamat dan mudah," katanya yang kehilangan suami dalam kemalangan jalan raya pada 2019.

Nor Laily yang menyara dua anaknya Nur Aimi Zahara,11, dan Nur Aira Zhafira, 6, mengakui, kehidupannya tetap mencabar walaupun mempunyai pendapatan RM400 sebulan hasil bekerja sebagai pembantu rumah inap, serta pencen arwah suami selain turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri.

"Sekarang saya tak boleh kerja tetap sebab kena uruskan anak-anak dan jaga ayah yang dah uzur. Mujur sejak Mac lepas saya dapat bantuan SARA RM200 sebulan. Sekurang-kurangnya saya tak perlu pening kepala fikir belanja dapur," katanya.

Bagi Noraini dan Nor Laily, bantuan SARA yang disalurkan terus melalui MyKad bukan sekadar meringankan beban, tapi turut memudahkan urusan mereka yang berseorangan menguruskan anak-anak dan kehidupan seharian.

SARA ialah program bantuan tunai bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, merangkumi 700,000 penerima sedia ada dalam eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, dengan bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.

Inisiatif itu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang adil, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial menyeluruh.

Sebagai penghargaan sempena Hari Kebangsaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai mengumumkan pemberitan RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas yang disalurkan terus ke MyKad di bawah SARA, memanfaatkan 22 juta rakyat.

Pemberian itu melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Dis di lebih 4,500 kedai dan pasar raya di seluruh negara.

-- BERNAMA



#sara #mykad #bantuan kerajaan #belanja dapur #PM Anwar Ibrahim