KUALA KANGSAR: Pendekatan teknologi terkini dalam sektor pertanian merupakan jalan terbaik bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan di negara ini terjamin.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini, secara tidak langsung mampu menambah hasil pengeluaran pertanian.

"Tentu sekali kita perlu melibatkan pihak swasta, dan untuk membangunkan teknologi, tentu sekali Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mainkan peranan penting.

"Kita juga ada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang membuat kajian pelbagai teknologi untuk digunakan dalam industri agromakanan.

"Sinergi kajian antara dua Kementerian dan lain-lain, saya yakin kita akan bergerak ke arah pertanian yang lebih moden dengan menggunakan aplikasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Pasar Tani Kekal Kuala Kangsar dan Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Ujarnya lagi, MAFI akan meneruskan kerjasama rapat antara semua pihak termasuk kerajaan negeri, serta sektor swasta dalam usaha memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara.

Dalam pada itu katanya, fokus Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini menjurus kepada matlamat membangunkan industri pertanian agromakanan.

"Kita perlu kurangkan import makanan dalam semua subsektor, masih ada ruang untuk kita bangunkan hasil pertanian, sehingga boleh eksport ke negara lain," katanya lagi.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA di Manong, Kuala Kangsar yang telah dinaiktaraf atas tanah berkeluasan empat ekar.

Ia sebagai model perniagaan dan pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi.

Melalui pembangunan pusat ini secara langsung dapat memberi peluang dan pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini dalam sektor pertanian, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik kerajaan.

Pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi yang juga sebahagian daripada Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA itu dimajukan di tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR), berkeluasan 2.5 ekar.

Ia beroperasi dengan mengaplikasikan konsep Internet of Things (IoT) iaitu menggunakan kaedah sistem fertigasi, hidroponik dan akuaponik dalam satu kawasan.

Untuk rekod, kaedah ini memberikan pulangan sehingga RM90,000 pada satu tempoh dengan pengeluaran dua komoditi iaitu sayuran berdaun organik sebanyak 3.3 tan metrik tan dan ikan talapia sebanyak 4,000 ekor.

Projek ini adalah manifestasi kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik kerajaan Persekutuan dan tanah rizab Melayu disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan.