KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya pesawat tanpa pemandu (UAV) digunakan bagi memantapkan keberkesanan agensi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ia bagi memastikan penubuhan Esscom sebagai peneraju keselamatan dalam mengkoordinasi pengoperasian kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dapat dioptimumkan terutama dari segi keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

"Penggunaan UAV ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko keselamatan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan domain udara khususnya dalam melaksanakan pengawasan di kawasan pantai timur Sabah dan lebih berorientasikan pengguna akhir," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Malam Penghargaan Media Esscom di sini pada malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Esszone dan bertanggungjawab kepada Esscom berkata penggunaan aset dan teknologi baharu seperti UAV akan memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di Esszone.

Sementara itu Hajiji menggesa semua pengamal media agar terus mendidik masyarakat melalui penulisan berita untuk menjadi warga yang cintakan negara serta memiliki jati diri yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk negeri Sabah.

Beliau berkata janji Kerajaan Perpaduan memberikan kebebasan media adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan.

Hajiji berkata banyak perkara yang perlu ditimbang tara sebelum merealisasikan impian ini terutama ledakan maklumat akibat kemajuan teknologi mengubah cara dan budaya pemikiran anak-anak muda.

"Kita tidak mahu maklumat-maklumat yang tidak benar mempengaruhi anak-anak muda kita. Untuk menangani masalah ini negara memerlukan satu sistem yang mengawal selia kandungan media supaya hanya maklumat yang berkredibiliti, tepat dan dipercayai sahaja sampai kepada anak-anak muda ini," katanya.

-- BERNAMA