SEREMBAN: Tema Hari Guru tahun ini, "Guru Bitara Nadi Negara", mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh profesion keguruan sebagai tunjang utama pembangunan negara, seiring dengan usaha melahirkan generasi masa depan berdaya saing dan berwibawa.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata konsep Guru Bitara menekankan peranan guru dalam melihat murid sebagai insan yang perlu dibentuk masa depan mereka, selain mengenal pasti potensi dan bakat pelajar untuk menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Advertisement
"Guru Bitara bukan sekadar menyelesaikan sukatan pelajaran ditetapkan, sebaliknya berperanan membina makna dalam setiap proses pembelajaran serta berupaya mendepani cabaran serta memimpin perubahan dalam sistem pendidikan.
"Keutamaan ketika ini adalah untuk melahirkan lebih ramai Guru Bitara yang berilmu, berkemahiran tinggi, berfikiran kritis serta berakhlak mulia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Gerakan Massa #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wong berkata sambutan Hari Guru kali ini diadakan di Perak pada 15 hingga 16 Mei ini, manakala Negeri Sembilan bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan tahun hadapan.
Beliau berkata peranan guru kekal sebagai elemen penting dalam ekosistem pendidikan negara yang kini merangkumi jutaan pelajar serta ratusan ribu tenaga pengajar.
“Di seluruh negara ada lebih 5.1 juta murid, 420,000 warga pendidik, lebih 10,251 sekolah. Ini institusi yang amat besar, warga pendidik memainkan peranan amat penting.
"Bukan sahaja mengajar di dalam bilik darjah dan menyelesaikan sukatan pelajaran yang disediakan, tetapi turut membantu membina insan anak-anak cemerlang dalam akademik serta mampu menjadi sebahagian daripada pimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.
Wong berkata KPM telah melatih dan menempatkan lebih 53,000 guru baharu di seluruh negara sejak 2023 hingga tahun lepas, manakala Institut Pendidikan Guru (IPG) terus berperanan melatih guru berkualiti, khususnya bagi sekolah rendah.
Mengulas tentang program hari ini, Wong berkata pelaksanaan Gerakan Massa: #terimakasihcikgu menyasarkan penglibatan aktif ibu bapa, komuniti, dan pihak swasta menyertai aktiviti sekolah, manakala kerjasama sektor swasta diperluas bagi menyediakan sokongan dana, peralatan dan sukarelawan.
Selain itu, kempen ini bertindak sebagai platform untuk menghargai jasa guru secara berterusan sepanjang tahun dan bukan sekadar terhad pada sambutan Hari Guru sahaja.
-- BERNAMA