MALAYSIA
Guru bola jaring disyaki pukul murid direman tiga hari
Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di tangan dan kaki dipercayai akibat dirotan.
SUNGAI PETANI: Seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak lima tahun ketika latihan bola jaring direman selama tiga hari hingga 24 Jun bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Seorang guru wanita berusia 24 tahun direman tiga hari hingga 24 Jun bagi membantu siasatan kes pukul dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun semasa latihan bola jaring di Kota Kuala Muda.
- Polis menerima dua laporan daripada waris mangsa, namun satu laporan telah ditarik balik; mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki dipercayai akibat dirotan.
- Video permohonan maaf guru terbabit tular di media sosial, sementara motif kejadian masih dalam siasatan dan latihan tersebut dipercayai sebagai persediaan kejohanan peringkat daerah.
Permohonan reman ke atas wanita berusia 24 tahun itu dibuat di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dan selesai kira-kira jam 10 pagi Ahad.
Bagaimanapun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah berikutan cuti umum bersempena Hari Keputeraan Sultan Kedah yang disambut pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa polis menerima dua laporan membabitkan seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak prasekolah semasa latihan bola jaring pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian dari waris mangsa, namun satu daripadanya telah ditarik balik oleh keluarga.
Menurutnya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai satu rakaman video selama 24 saat memaparkan seorang wanita dipercayai guru terbabit, menangis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa.
Difahamkan, dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki kemungkinan dirotan ketika menjalani latihan sukan di tempat mereka belajar di Kota Kuala Muda, di sini.
Latihan itu dipercayai dibuat sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat daerah minggu depan. - Sinar Harian