Guru cuai beri lirik agungkan gereja tampil mohon maaf

Mohd Kamil (kiri) dan Shafruddin dalam sidang akhbar di Dungun hari ini. - Foto Astro AWANI
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memandang serius  kecuaian seorang guru yang memberikan  lirik lagu mengagungkan gereja kepada 24 orang murid sekolah rendah.
Pengarahnya Shafruddin Ali Hussin  berkata pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Shafruddin menerusi siasatan yang dilakukan mendapati  kesilapan itu tidak disengajakan dan  berlaku kecuaian semasa pemilihan lagu tersebut.
“Apabila menyanyikan lagu tersebut didapati lagu itu mempunyai unsur Kristian dan Cikgu Kamil pun terus tidak membenarkan walaupun telah dinyanyikan sekali  tetapi selepas  itu lagu tersebut tidak dinyanyikan dan Cikgu Kamil telah berjanji kepada murid-muridnya untuk menarik balik dan menggantikannya dengan lagu lain.
“Isu yang kedua ialah  Cikgu Mohd Kamil tidak menarik semula salinan senikata lagu yang diberi kepada muridnya, jadi dua kalilah berlaku kecuaian di situ,” kata  Shafruddin ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berharap agar perkara itu  tidak lagi disensasikan dan penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan umat Islam berkaitan isu berkenaan.
Guru terbabit, Muhammad Kamil Abdul Rahman, sebelum itu telah memuat turun lirik tersebut  di internet bagi tujuan latihan kepada murid untuk persembahan Bulan Kemerdekaan yang akan diadakan di sekolah pada 10 September ini.
Muhammad Kamil hari ini tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam ini ekoran kecuaiannya mengedarkan lirik lagu mengagungkan agama Kristian kepada pelajar Islam pada hari Rabu lalu.
Guru yang sudah lapan tahun bertugas  di sekolah itu tidak menyangka lirik lagu berkenaan mengandungi unsur memuji agama Kristian dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.
“Di atas kecuaian saya, dengan itu saya memohon maaf berbanyak-banyak kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam di atas kecuaian ini  yang tidak di sengajakan,” katanya.
Rabu lalu , seorang aktivitis pendidikan yang menggunakan nama gelaran  Cikgu Izzat telah memuatnaik satu kenyataan di laman sosial Facebook berkenaan tindakan seorang guru yang menyebarkan lirik lagu berunsur Kristian dan memuji gereja ketika proses pengajaran dan pembelajaran.
Ekoran  itu netizen telah mengecam tindakan yang dilakukan oleh guru tersebut yang dianggap sebagai tidak sensitif dan menghina agama Islam serta berharap pihak yang berkaitan mengenakan tindakan displin terhadap guru terbabit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

