KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mengesahkan telah mengambil tindakan kepada seorang guru dengan menggantung tugasnya untuk sementara selepas individu tersebut didakwa memperdagangkan seorang wanita di sebuah kondominium di daerah ini.

Pengarahnya, Jelani Sulong menjelaskan tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan sehingga guru berkenaan dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Kes itu masih di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia. Kita serahkan dahulu kes ini di bawah tanggungjawab polis dan kita tunggu (keputusan mahkamah).

"Baru-baru ini juga individu itu telah dituduh di mahkamah namun dia tidak mengaku bersalah selain mahkamah menetapkan 31 Mac depan depan bagi sebutan semula kes tersebut.

"Kita di peringkat jabatan menunggu dahulu keputusan daripada mahkamah. Insya-Allah, tindakan tatatertib akan menyusul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas pengumuman Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung isu tersebut.

"Setakat ini guru itu tidak boleh mengajar dan kita tunggu dahulu keputusan mahkamah.

"Jika sebaliknya (tidak bersalah) mungkin dia boleh mengajar balik.

"Tetapi di peringkat kita ada tindakan iaitu gantung tugas sementara untuk selesaikan kes siasatan ini," jelasnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang guru antara dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 4 di sini pada Khamis atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita di sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada 11 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama telah memperdagangkan seorang wanita berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian