Berpura-pura bertanya mengenai bilik darjah sebelum bertindak meragut beg tangan seorang guru wanita dalam sebuah kelas, di sebuah sekolah rendah di Puchong Indah di sini, petang semalam.

Modus operandi seorang lelaki yang tergamak melakukan jenayah terhadap guru tersebut ketika mangsa dikatakan mengajar di sebuah kelas terletak di blok paling hujung berdekatan pintu pagar belakang sekolah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, suspek dikatakan masuk ke kawasan sekolah melalui pintu pagar belakang yang tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berwarna merah.

Menurutnya, suspek meletakkan sekeping kertas di atas meja guru dan bertanya mengenai bilik darjah.

Belum sempat menjawab pertanyaan, suspek terus menarik beg tangan milik mangsa yang diletakkan di atas meja guru.

Kejadian berlaku sekelip mata selepas mangsa meminta muridnya menyalin nota sebelum duduk di meja guru.

“Mangsa yang berusia 30 tahun itu cuba menarik beg tangan miliknya namun terjatuh akibat rentapan kuat sebelum suspek melarikan diri ke arah tidak pasti.

“Guru tersebut yang kehilangan dokumen penting, sejumlah wang tunai, dua buah telefon bimbit dan kunci rumah serta kereta mengalami sakit pada bahagian lutut kanan,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, siasatan awal mendapati dua pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian dan pintu pagar bahagian belakang sekolah memang dibuka.

“Lokasi kejadian di kelas yang terletak di hujung blok bersebelahan pintu pagar belakang.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kawasan sekolah menghala ke blok kelas tersebut,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.