MALAYSIA
Guru direman disyaki rotan murid hingga lebam

Suspek berusia 22 tahun (dua dari kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
ALOR GAJAH: Seorang guru tahfiz direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini pada Rabu kerana dipercayai merotan muridnya sehingga lebam di beberapa bahagian badan.
Ringkasan AI
- Seorang guru tahfiz berusia 22 tahun direman tujuh hari kerana dipercayai merotan murid berusia 12 tahun sehingga lebam di beberapa bahagian badan.
- Ibu mangsa, seorang anggota tentera, membuat laporan polis selepas mendapati kesan lebam dan dimaklumkan anaknya sering sakit badan akibat dirotan.
- Suspek ditahan di pusat tahfiz di Tanjung Bidara dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber berkata, insiden itu disedari ibu mangsa yang juga seorang anggota tentera selepas melihat kesan lebam pada beberapa bahagian badan anaknya yang berusia 12 tahun pada Selasa.
Menurutnya, wanita berusia 42 tahun itu kemudian menghubungi suspek untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian tersebut dan guru tahfiz berkenaan mengaku merotan kerana mendakwa mangsa sukar dikawal dan tidak mendengar arahan.
“Sebelum ini, wanita terbabit sering dimaklumkan anak lelakinya yang belajar di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Bidara kerap mengalami sakit badan akibat dirotan gurunya.
“Wanita itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek hadir membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah dan mangsa diberikan borang Pol 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Tambahnya, pegawai penyiasat bersama sepasukan anggota polis kemudian ke pusat tahfiz berkenaan sebelum menahan suspek untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami