Kewujudan guru holistik menjamin pembentukan murid cemerlang yang mampu mentaksir kebijaksanaan merangkumi akal dan kecerdasan emosi.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, ia sekali gus menambah bilangan murid holistik yang menjamin sistem pendidikan negara secara keseluruhan.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan sentiasa memberi bantuan atau kerjasama yang diperlukan bagi memastikan pembentukan rantaian guru dan murid holistik itu menjadi kenyataan.

"Harapan kita untuk memberi latihan kepada guru mahupun Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mewujudkan guru holistik.

"Ia bukan sahaja seorang anak murid holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, tetapi kita juga mewujudkan guru holistik yang dapat mewujudkan anak murid holistik.

"Kerjasama Kementerian Pendidikan adalah memberi bantuan dan semangat untuk guru agar buat yang terbaik," katanya semasa sidang media Anugerah Hadiah Guru Global anjuran Yayasan Varkey GEMS.

Yayasan tersebut yang berpusat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), ialah satu-satunya di dunia yang memberikan pengiktirafan luar biasa kepada golongan pendidik.

Pada tahun ini, guru SJKT Khalidi dari Muar, Johor K. Vanesri dan guru SK Intera Mahkota Utama dari Kuantan, Pahang, Noorjahan Sultan tersenarai pendek bersama-sama 50 guru dari seluruh dunia dalam Anugerah Hadiah Guru Global tersebut.

Tahun lepas, guru Fizik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, Yasmin Noorul Amin menjadi calon dalam anugerah berkenaan.

Pemenang anugerah akan menerima hadiah AS$1 juta (RM3.6 juta).

Dalam pada itu, kata Kamalanathan, pencalonan anugerah itu merupakan hasil inisiatif murid sendiri dan bukannya guru.

"Ia merupakan pencalonan yang dibuat pelajar serta ibu bapa yang melihat mana-mana guru cemerlang untuk menjadi calon anugerah itu.

"Guru tidak akan mencalonkan diri sendiri, jadi inilah kelebihan serta keistimewaan anugerah berkenaan," jelasnya.

Sebelum ini, Pengasas Varkey GEMS Foudation, Sunny Varkey berkata Hadiah Guru Global ini bukan semata-mata tentang wang, tetapi meraikan dan memberi anugerah kepada guru sebagai kerjaya yang paling dihormati dalam masyarakat.

Setiap permohonan perlu menyediakan rujukan melibatkan penyelianya dan dua lagi rujukan tambahan termasuklah testimoni menggunakan video tentang prestasi kerja di dalam dan di luar bilik darjah.

Malah, testimoni daripada pelajar, rakan sekerja, ketua panitia mahupun masyarakat setempat amat dialu-alukan.

Hadiah US$1 juta akan dibayar kepada pemenang secara ansuran dalam tempoh 10 tahun, dengan khidmat kaunseling kewangan disediakan Varkey GEMS.