KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang guru agama semalam kerana disyaki memukul ibu angkatnya sehingga cedera pada 19 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain itu ditahan pada 12.30 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Sungai Sering Ukay Indah di sini, lelaki berusia 28 tahun itu memukul ibu angkatnya berusia 76 tahun dipercayai kerana berang akibat sering meminta duit belanja dapur.

"Pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Ampang mendapati wanita berkenaan yang mengambil lelaki itu sebagai anak angkat sejak lahir mengalami kecederaan pada tisu lembut di kepala dan abdomen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari hingga Ahad ini (28 Jan) dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Sementara itu, Mohd Azam berkata polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun pada Selasa lepas kerana menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan cuba menunaikan cek sebuah masjid.

Mohd Azam berkata dalam kejadian pada 2 petang, Jumaat lepas, lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM sebelum mengarahkan bendahari sebuah masjid di Ampang Jaya di sini untuk mengeluarkan buku cek bagi semakan kerana mendakwa terdapat masalah dalam pengurusan kewangan masjid itu.

"Selepas melakukan semakan lelaki itu beredar dan pada 3 petang, bendahari itu menerima panggilan daripada bank mengatakan terdapat sekeping cek bernilai RM30,000 cuba ditunaikan namun telah ditolak. Bendahari itu kemudian mendapati sekeping cek telah hilang selepas diperiksa suspek," katanya.

Menurutnya lelaki yang tidak bekerja itu kemudian ditahan pada 1.35 tengah hari ketika hadir di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan direman selama empat hari hingga 27 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

-- BERNAMA