BALING: Seorang guru agama madrasah di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini atas pertuduhan mencederakan murid dua minggu lalu.

Tertuduh Amirul Hakim Johari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapkan Hakim, Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Madrasah Baituttaqwa Warahmah di Kampung Durian Burung, Sik pada 11 November lalu.

Tertuduh yang berasal dari Petaling Jaya didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM30,000 kepada tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.

Peguam bela tertuduh, Al-Sabri Ahmad Kabri bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh berpendapatan rendah.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai seorang anak dan isterinya bakal bersalin minggu depan, malah tertuduh memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan  tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Najwa turut menetapkan 21 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.