MALAYSIA

Guru mengaku tidak salah lakukan amang seksual terhadap murid lelaki

Bernama 05/08/2025 | 08:30 MYT
Guru Syahril Faiza Zakaria berhadapan empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun tahun lepas. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun pada Mac dan Mei tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Pertuduhan Serius terhadap Guru: Seorang guru berusia 51 tahun didakwa atas empat pertuduhan amang seksual terhadap murid lelaki berumur 11 tahun, berlaku dalam kereta dan tandas resort pada Mac dan Mei 2024.
  • Tindakan Mahkamah & Jaminan: Tertuduh mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM30,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri ke balai polis setiap dua bulan.
  • Tarikh Sebutan Semula Kes: Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen kes.


Syahril Faiza Zakaria, 51, didakwa melakukan dua perbuatan itu ketika berada di dalam sebuah kereta pada 2 petang Mac 2024, manakala dua lagi perlakuan dilakukan di sebuah tandas di sebuah resort Pantai Cahaya Bulan, di sini, Mei tahun sama.

Keempat-empat pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta yang sama, dibaca bersama seksyen 16 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan untuk setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Syahril Faiza memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam, kebajikan mangsa dan mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.

Peguam Mohd Saifullah Che Mat merayu agar jaminan sesuai dikenakan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri, mempunyai masalah jantung sejak Mei lepas, menghidap kemurungan tahap serius dan tidak berkahwin.

Anak guamnya yang sebelum ini berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Tumpat juga, katanya telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan di daerah berkenaan.

Hakim Zulkifli Abllah membenarkan Syahril Faiza diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung serta melapor diri ke balai polis setiap dua bulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA




#guru didakwa #amang seksual #murid lelaki berusia 11 tahun #Pantai Cahaya Bulan