NATIONAL
Guru, murid bukan bahan uji kaji - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya guru dan murid tidak dijadikan bahan uji kaji dengan sering kali menukar agenda serta sistem pendidikan negara.
Ringkasan AI
- Kestabilan Sistem Pendidikan: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sektor pendidikan perlu dirancang untuk jangka panjang dan tidak seharusnya berubah setiap lima tahun mengikut pertukaran menteri.
- Pemerkasaan Peranan Guru: Beliau mencadangkan rombakan sistem tugasan guru agar mereka kembali kepada tugas utama mengajar, serta memanfaatkan AI dan automasi untuk meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan masa bersama murid.
- Transformasi Digital dalam Pendidikan: Ahmad Zahid menggesa pemerkasaan teknologi dalam sistem pendidikan untuk memastikan semua guru dapat mengintegrasikan teknologi dan membimbing murid menjadi pengguna digital yang fasih serta beretika.
Beliau berkata walaupun menteri silih berganti, sektor pendidikan tidak boleh dilihat dalam jangka masa lima tahun sahaja, sebaliknya perlu perancangan untuk tempoh 50 tahun akan datang.
"Jangan setiap lima tahun selepas pilihan raya - menteri, sistem, sukatan pelajaran semua diganti. Guru dan murid ini bukan bahan uji kaji, sistem itu mesti berjalan terus.
"Jangan kerana kita mahu wujudkan satu legasi untuk kepentingan peribadi guru dijadikan mangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya telah menggariskan beberapa hala tuju utama dalam membina semula ekosistem pendidikan termasuk merombak sistem tugasan guru agar mereka kembali kepada peranan asal.
"Guru juga harus menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi secara bijak untuk meminimumkan kerja dan mengoptimumkan masa bersama murid," katanya.
Beliau berkata transformasi digital juga harus diutamakan dan disegerakan bagi memudahkan urusan guru.
"Penguasaan teknologi digital mesti disegerakan. Dalam era ini, budaya penyesuaian berteraskan teknologi akan menjamin kemampanan pendidikan.
"Pastikan semua guru mampu mengintegrasikan teknologi dan murid menjadi pengguna digital yang fasih dan beretika," katanya.
-- BERNAMA