Guru sekolah agama maut motosikal terbabas langgar penghadang jalan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 27, 2022 04:50 MYT
Nahas dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan hilang kawalan lalu terlanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Seorang guru agama maut dalam nahas di Kilometer 91.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nasuha Mustaffa, 34, berasal dari Kampung Alor Melintang Mukim Gunong, Alor Setar.
Menurut Zaidy, dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, mangsa yang juga guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah sedang menunggang motosikal bersendirian dari arah utara menghala ke selatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan hilang kawalan lalu terlanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk ujian COVID-19 dan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#guru agama maut #motosikal terbabas #Muhammad Nasuha Mustaffa #Lebuhraya Utara Selatan