[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Guru silat mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap tiga murid lelaki

Bernama 25/06/2025 | 10:10 MYT
Seorang guru silat didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelakinya. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang guru silat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga anak murid lelakinya yang berusia 15 dan 17 tahun di hotel serta rumah inap.

Ringkasan AI
  • Seorang guru silat didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki, berumur 15 dan 17 tahun, antara November 2023 hingga Februari 2025 di hotel dan rumah inap sekitar Kelantan.
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan kes diklasifikasikan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 keseluruhan dengan syarat tidak mengganggu mangsa, dan menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.

Faizul Yusoff, 54, berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Kampung Semut Api Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada 9 malam 13 Feb lepas dan 3 pagi 14 Feb 2025.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun di sebuah rumah inap di Kampung Talang Kadok di sini pada 1 pagi 13 Nov 2023.
Faizul turut menghadapi pertuduhan sama melibatkan mangsa berusia 17 tahun dan kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah inap di Kubang Golok, Bachok pada 3 pagi 28 Jan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala Faizul diwakili peguam Nur Alyaa Mohd Zain dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes itu adalah serius manakala Nur Alyaa memohon jaminan minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai guru silat serta mempunyai lima anak.
Hakim Zulkifli Abllah membenarkan Faizul diikat jamin RM10,000 bagi setiap kes dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#guru silat #amang seksual #anak murid lelakinya #Kota Bharu