Seorang guru sekolah rendah ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala dan badan di sebuah rumah berhampiran kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Kundasang, Ranau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Masinah Samadi, 50, ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh suaminya yang kebetulan baharu sahaja pulang daripada kerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Sabah, SAC Salehudin Abdul Rahman berkata sepasukan anggota forensik telah dihantar ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati terdapat kesan umpilan pada bahagian pintu dapur rumah mangsa yang disyaki dimasuki oleh penjenayah.

"Motif awal kejadian adalah dipercayai rompakan dan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daerah Ranau untuk dibedah siasat.

Menurut Salehudin usaha memburu suspek terlibat sedang giat dilaksanakan oleh pihak polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.