KUALA LUMPUR: Guthrie menafikan dakwaan bahawa anak syarikat atau pekerjanya mencetuskan kebakaran hutan di Indonesia, selain menegaskan pemeriksaan terkini mendapati tiada kebakaran aktif dikesan di mana-mana ladang miliknya di negara itu.
Menurut Guthrie, pemeriksaan di lapangan juga tidak menemukan bukti bahawa kebakaran yang dilaporkan berpunca daripada anak syarikat atau pekerjanya.
Syarikat itu berkata, beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Guthrie dalam laporan awam sebenarnya tidak dimiliki, diurus atau dikawal olehnya.
Justeru, Guthrie berpandangan sebarang rujukan yang dibuat berdasarkan maklumat lama atau tidak tepat perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan.
Dalam kenyataan pada Selasa, Guthrie memaklumkan, syarikat telah melaksanakan Dasar Sifar Pembakaran (Zero-Burning Policy) sejak 1985 di seluruh kawasan operasinya.
Pada masa sama, ia mengekalkan komitmen pembangunan Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut dan Tanpa Eksploitasi (No Deforestation, No Peat and No Exploitation).
Antara langkah pencegahan yang dilaksanakan termasuk pemantauan paras air dalam masa nyata, pemantauan aras air bawah tanah di kawasan tanah gambut, kawalan kelembapan serta program pencegahan kebakaran bersama masyarakat.
Guthrie turut menyediakan latihan berkaitan pengurusan tanah secara bertanggungjawab kepada pekebun kecil dan petani tempatan.
Menurut syarikat itu, tindakan segera akan diambil sekiranya kebakaran dikesan di dalam atau berhampiran sempadan kawasan operasinya tanpa mengira punca kejadian.
Anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation, mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran membabitkan 1,005 anggota terlatih.
Keupayaan berkenaan turut disokong penggunaan dron serta pemantauan inframerah yang meliputi kawasan konsesi perladangan dan kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitarnya.
Guthrie berkata, kira-kira 3.5 bilion rupiah atau RM800,000 diperuntukkan setiap bulan bagi menyelenggara dan menggerakkan sumber berkenaan.
Menerusi anak syarikatnya di Indonesia, Guthrie turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu menangani kebakaran hutan dan tanah di luar kawasan konsesinya.
Antara Januari hingga September lalu, pasukan pemadam kebakaran syarikat dilaporkan menangani dan memadamkan 2,411 kebakaran, dengan 2,376 daripadanya berlaku di tanah masyarakat setempat.
Guthrie menegaskan, penglibatan pasukannya dalam memadam kebakaran di luar kawasan operasi tidak seharusnya dianggap sebagai bukti bahawa syarikat itu menjadi punca kejadian.
Pada masa sama, Guthrie mendakwa laporan yang mengaitkannya dengan kebakaran berkenaan dipercayai menggunakan peta Hak Guna Usaha (HGU) lama yang tidak menggambarkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa.
Syarikat itu turut menyangkal dakwaan bahawa pokok sawit di kawasan kebakaran telah matang dan perlu ditebang.
Sebaliknya, menurut Guthrie, pokok berkenaan masih muda dan produktif, sekali gus tidak menyokong dakwaan bahawa kebakaran sengaja dicetuskan bagi tujuan pembersihan tanah.
Guthrie berkata, ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan di Indonesia dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah.
Syarikat itu turut menggesa sebarang maklumat pemilikan yang tidak tepat diperbetulkan dan setiap dakwaan terhadapnya disokong dengan bukti yang boleh dipercayai.