KUALA LUMPUR: Had maksimum insentif caruman padanan kerajaan untuk program i-Saraan dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 setahun bermula 1 Jan 2024, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut KWSP, rakyat Malaysia berumur bawah 60 tahun, berada dalam sektor tidak formal termasuk bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, serta mencarum secara sukarela di bawah program itu, akan menerima insentif padanan sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela, tertakluk kepada had insentif maksimum RM500 setahun.

"Kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Saraan yang mencarum, tertakluk kepada insentif seumur hidup maksimum RM5,000 bertujuan menggalakkan mereka terus menyimpan untuk persaraan dan membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada insentif kerajaan ini," menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan.

KWSP memakluman insentif caruman padanan untuk program i-Saraan itu antara siri penambahbaikan strategik produk dan polisi yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan dan jaminan pendapatan ahlinya.

Inisiatif sama turut diperkenalkan untuk program i-Suri iaitu kerajaan akan memberikan insentif caruman padanan sebanyak 50 peratus bagi setiap RM1 sumbangan sukarela suri rumah berumur 55 tahun dan ke bawah, serta berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih, tertakluk kepada had insentif maksimum sebanyak RM300 setahun.

Kerajaan juga menurut KWSP, akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Suri yang mencarum, tertakluk kepada had insentif seumur hidup maksimum RM3,000.

"Bagi 2023, insentif kerajaan sebanyak RM19 juta telah dikreditkan kepada 42,532 ahli di bawah program i-Suri," menurut kenyataan itu.

Selain itu, bermula tahun ini, KWSP juga telah mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah yang berkaitan dengan pelaburan patuh syariah secara strategik bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang.

Kumpulan itu juga menambah baik platform i-Invest bagi membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.

"Siri penambahbaikan ini selari dengan Belanjawan 2023 dan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing pada 24 Feb dan 13 Okt tahun lepas, sebagai langkah proaktif yang dilaksanakan mengikut keperluan ahli KWSP untuk meningkatkan daya tahan kewangan dan kesejahteraan semasa persaraan," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut tentang inisiatif penambahbaikan ini boleh diperoleh melalui laman web rasmi KWSP www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP 03-8922 6000.

-- BERNAMA