MALAYSIA

Had umur belia 30 tahun kekal

Bernama 17/07/2025 | 11:00 MYT
Hannah menegaskan bahawa pindaan umur belia kepada 30 tahun adalah langkah yang selaras dengan trend global yang semakin menumpukan kepada golongan muda. - Gambar fail
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan tetap dengan pendirian untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Jan 2026 selaras pindaan yang diluluskan Parlimen pada 2019, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan tetap dengan keputusan untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2026, selaras pindaan yang diluluskan Parlimen pada tahun 2019.
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa Sarawak tidak terikat dengan perubahan itu kerana pertubuhan belia utamanya, SABERKAS, berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
  • Sarawak mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun dan mempunyai kuasa menetapkan had umur sendiri di peringkat negeri, seperti dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


Bagaimanapun beliau berkata Sarawak tidak terikat dengan perubahan itu kerana badan belia utamanya, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

"Untuk had umur belia ini, kerajaan telah buat keputusan, tahun 2019 Parlimen telah luluskan undang-undang. Kemudian kita telah tangguh dua kali sebelum ini dan ini bermaksud sekarang ini kita dalam tempoh penangguhan tahun ketiga.

"Sarawak ada pertubuhan belia mereka iaitu SABERKAS dan tidak berdaftar di ROY. SABERKAS berdaftar di ROS (jadi) memang dia tak perlu ikut. Bawah ROS tak ada had umur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 di sini, hari ini.

Hannah menegaskan bahawa pindaan umur belia kepada 30 tahun adalah langkah yang selaras dengan trend global yang semakin menumpukan kepada golongan muda.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini berkata Sarawak mempunyai kuasa untuk menetapkan had umur belia di peringkat negeri,

Negeri itu juga tidak bercadang untuk mengikuti ketetapan kerajaan Persekutuan dan mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

-- BERNAMA



#had umur belia #Hannah Yeoh #Sarawak #30 tahun