Had umur Pengerusi JKKK dilanjutkan ke 69 tahun

Tan Su Lin
Disember 3, 2015 11:19 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menerima resolusi kongres luar bandar daripada Pengerusi JKKK Kampung Bukit Bulat Melaka, Syukur Harun (kiri) pada Perhimpunan JKKK dan JKKKP hari ini. - Foto Bernama
Had umur perkhidmatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bakal dilanjutkan selama dua penggal dari umur 65 tahun ke 69 tahun, kecuali mereka yang uzur dan tidak berkemampuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, isu had umur telah menjadi polemik sebelum ini dan perlu diselaraskan.
"Dengan cara ini kita harap ia dapat selesaikan masalah di tempat tertentu. Saya dengar ada negeri yang tidak lantik lagi Ketua Kampung disebabkan masalah ini," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan JKKK & JKKK Persekutuan Malaysia 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada majlis sama, Najib turut melancarkan aplikasi iDesa yang mengandungi maklumat berhubung kampung dan homestay seluruh negara.
Dianggarkan lebih 10,000 pemimpin JKKK termasuk Ketua Kampung dan Penghulu yang hadir pada perhimpunan itu.
#Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung #JKKK #Najib Razak #Perdana Menteri