[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Hadapi 743 pertuduhan, pengsan selepas dibacakan pertuduhan ke-30

Yasmin Natasha 04/06/2025 | 08:15 MYT
Nora Idayu Jaafar, didakwa melakukan pindaan terhadap sistem pengurusan pelanggan Astro (AMDOCS CRM) dengan menukarkan 743 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang berdepan dengan 743 pertuduhan berkaitan pengubahsuaian sistem data syarikat tempatan pengsan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas pertuduhan ke-30 dibacakan terhadapnya.

Ringkasan AI
  • Pertuduhan besar terhadap bekas pekerja Astro: Nora Idayu Jaafar, 48, didakwa atas 743 pertuduhan berkaitan pengubahsuaian sistem data pelanggan Astro dari 2013 hingga 2020, memberikan akses percuma kepada kandungan.
  • Kes dikendalikan di Mahkamah Sesyen: Kes ini didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, dengan kemungkinan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun.
  • Prosiding ditangguhkan selepas tertuduh pengsan: Tertuduh rebah selepas pertuduhan ke-30 dibacakan, menyebabkan prosiding ditangguhkan ke 26 Jun untuk memberi masa kepadanya mendapatkan rawatan dan berehat.

Tertuduh, Nora Idayu Jaafar, 48, yang bertugas sebagai bekas unit sokongan komersial jabatan perniagaan Astro didakwa melakukan pengubahsuaian tidak sah terhadap sistem data pelanggan syarikat penyiaran berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Nora Idayu didakwa melakukan pindaan terhadap sistem pengurusan pelanggan Astro (AMDOCS CRM) dengan menukarkan 743 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat, yang memberikan akses penuh kepada kandungan secara percuma.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, dalam tempoh antara tahun 2013 hingga 2020, dengan pengetahuan bahawa tindakan tersebut akan mengakibatkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data tanpa kebenaran.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan tidak dapat meneruskan prosiding selepas bacaan pertuduhan ke-30 apabila beliau tiba-tiba rebah dan pengsan di dalam kandang tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam bela.
Hakim Norma Ismail kemudian menangguhkan prosiding ke 26 Jun ini bagi membolehkan tertuduh mendapatkan rawatan serta berehat dan membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.
#Astro #Mahkamah Sesyen #data pelanggan #pengsan