Hadi Awang ucap takziah kepada keluarga Haron Din

Bernama
September 16, 2016 04:31 MYT
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendoakan moga Allah memberi rahmat kepada arwah Datuk Dr Haron Din dan meletakkan rohnya bersama umat yang menegakkan Islam. - Gambar fail
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat hari ini.
Beliau berkata Allahyarham Haron adalah di antara generasi awal lulusan Islam yang bersama-sama dengan PAS sejak parti itu ditubuhkan.
"Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan PAS, generasi awal lulusan Islam bersama dengan Profesor Dr Zulkifli Mohamad dan kumpulan Islam.
"Kita harap semua sumbangan Allahyarham terhadap Islam dapat diterima Allah SWT dan semua kekurangan beliau diampunkan oleh Allah SWT.
"Mudah-mudahan Allah bagi rahmat dan meletakkan rohnya bersama para Anbia, syuhada dan para solehin yang menegakkan Islam," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini.
Haron, 76, meninggal dunia pada pagi ini (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya. -- BERNAMA
#Datuk Dr Haron Din #Datuk Seri Abdul Hadi Awang #meninggal dunia #PAS