Hadi kemuka sekali lagi pindaan hudud ke Parlimen

Astro Awani
Mei 26, 2016 03:04 MYT
Ini adalah kali ketiga Abdul Hadi (gambar) mengemukakan rang undang-undang yang serupa ke Parlimen selepas dua cubaan sebelum ini pada tahun lepas. - Gambar fail
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengemukakan rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang persendirian itu disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat pada hari akhir sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ini adalah kali ketiga Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan rang undang-undang yang serupa ke Parlimen selepas dua cubaan sebelum ini pada tahun lepas.
Sama seperti sebelum ini, rang undang-undang persendirian ini juga dipercayai tidak akan sempat dibentangkan dalam persidangan.
Rang undang-undang persendirian itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini.
Pada masa ini, hukuman bagi kesalahan jenayah syariah tertakluk kepada apa yang diistilahkan sebagai “3-5-6” iaitu penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 dan enam sebatan rotan.
Dengan cadangan pindaan kepada akta itu, semua kesalahan jenayah syariah boleh dikenakan hukuman yang ditetapkan mengikut undang-undang Islam.
Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun lepas meluluskan usul pelaksanaan hudud dan qisas di negeri itu. Ia bagaimanapun tersekat kerana kedudukan undang-undang persekutuan yang tidak membenarkan hukuman melebihi daripada yang ditetapkan sekarang.
PAS mengusahakan pelaksanaan hudud dan qisas di Kelantan itu dengan kerjasama kerajaan Persekutuan melalui sebuah jawatankuasa teknikal bersama yang meneliti perkara tersebut.
#Abdul Hadi Awang #Dewam Rakyat #hudud #Rang Undang-Undang #RUU