MALAYSIA

Hadiah Sastera Perdana Malaysia: Karya perlu asli, bukan janaan AI

Asyraf Malik 08/07/2025 | 12:02 MYT
Hazami memberikan ulasan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan karya sastera ketika sidang media di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Selasa. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Era kecerdasan buatan (AI) antara cabaran penjurian untuk menentukan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) tahun 2021/2022 yang bertujuan mengiktiraf nukilan berprestij negara.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hazami Jahari berkata, karya yang dipertandingkan dalam HSPM seharusnya bersifat tulen dan bukan dijana AI.

"Kami meletakkan tanggungjawab kepada penyedia ruang penulisan atau penerbit supaya memastikan sesuatu karya itu tidak dihasilkan oleh AI.

"DBP mahu penyertaan HSPM hanya karya asli daripada pengarang, setakat ini kita belum putuskan lagi untuk mempertimbangkan penulisan AI.

"Jangan sampai timbul isu hak cipta dan sebagainya menerusi penggunaan AI ini," ujar Hazami dalam satu sidang media sempena Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 di sini, pada Selasa.

Sejumlah 3,555 penyertaan direkodkan HSPM edisi kali ini melibatkan empat kategori iaitu Buku atau Kumpulan Karya, Karya Eceran, Buku Sastera Kanak-kanak dan Buku Sastera Remaja.

Penyertaan tertinggi sebanyak 3,203 dicatatkan untuk Kategori Karya Eceran yang merupakan koleksi puisi, cerpen, drama serta esei diterbitkan secara berasingan menerusi majalah, jurnal, akhbar dan buku.

Manakala kategori paling kurang mendapat sambutan adalah Buku Sastera Remaja iaitu hanya 58 penyertaan.

"DBP menganjurkan program Minggu Penulis Kanak-Kanak dan Minggu Penulis Remaja untuk menggilap bakat berpotensi supaya penyertaan kategori ini semakin meningkat.

"Selain menyediakan ruang penulisan untuk kanak-kanak seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Tunas Cipta sebagai saluran kepada mereka menyerlahkan kreativiti.

"Kita juga mengadakan kerjasama dengan sekolah dan universiti untuk menerapkan kegiatan kesusasteraan," jelas Hazami.

Hadiah keseluruhan bernilai RM22,000 akan disampaikan kepada pemenang setiap kategori dalam Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 di Hotel Zenith, Putrajaya pada 10 Julai.

Acara yang dinanti-nantikan khususnya bagi komuniti karyawan ini bakal disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.





#Hadiah Sastera Perdana Malaysia #Dewan Bahasa dan Pustaka #kecerdasan buatan #AI