SEGAMAT:Seramai 16 sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dari Labis, Segamat didapati positif COVID-19 selepas pulang daripada menghadiri satu perjumpaan keluarga di Lembah Klang.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan, semua mereka yang tinggal di rumah yang sama di Labis telah mengunjungi ahli keluarga lain di zon merah di Kuala Lumpur dan Selangor antara 17 hingga 25 Disember lalu, lapor The Star.

Sumber tersebut memaklumkan, perjumpaan itu turut dihadiri beberapa lagi ahli keluarga lain termasuk seorang warga emas berusia 60 tahun, yang kemudiannya meninggal dunia akibat COVID-19 pada 3 Januari.

Dia yang menghidap tekanan darah tinggi dan diabetes, dikatakan mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas setelah kembali ke Segamat.

Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia.

Sehari selepas itu, salah seorang anggota keluarga berkenaan didapati positif COVID-19, kata sumber itu.

"Pengesanan kontak dan tindakan susulan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan mendapati 16 anggota keluarga warga emas itu positif COVID-19.

"Sebahagian daripada mereka sedang menjalani kuarantin manakala sebahagian lagi ditahan di hospital untuk rawatan," kata sumber itu.