MEKAH: Ketika jutaan jemaah berhimpun dalam cuaca panas, kepadatan luar biasa dan keletihan fizikal yang berpanjangan, ibadah haji sebenarnya menjadi medan ujian sebenar terhadap emosi dan akhlak setiap individu.
Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, dalam suasana mencabar itu, ukuran sebenar bukan sekadar kemampuan fizikal menunaikan ibadah, tetapi keupayaan jemaah mengawal diri, bersabar dan menjaga hubungan sesama manusia.
Menurut beliau, tekanan daripada kesesakan, keletihan serta perubahan rutin harian menjadikan emosi antara cabaran terbesar sepanjang berada di Tanah Suci.
“Tempat panas, manusia ramai… dalam keadaan ini sangat mudah untuk kita hilang sabar. Tetapi di situlah sebenarnya nilai ibadah haji ini terletak,” katanya.
Haji Sebagai Penyempurna Rukun Islam
Luqman menjelaskan ibadah haji merupakan kemuncak kepada seluruh rukun Islam yang membentuk seorang Muslim secara berperingkat.
“Syahadah itu permulaan, pengisytiharan iman. Tetapi iman itu perlu dipelihara dan diperkukuh, sebab itu datangnya solat untuk mengingatkan kita kepada Allah setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, ibadah puasa pula mendidik manusia mengawal nafsu dan kesabaran, manakala zakat mengajar pengorbanan melalui harta.
“Haji ini menggabungkan semua latihan itu. Ia bukan sekadar ibadah biasa, tetapi satu himpunan menyeluruh antara keimanan, kesabaran dan pengorbanan,” katanya.
Arafah: Detik Penentu
Mengulas kepentingan wukuf, beliau menegaskan bahawa Arafah merupakan detik paling penting dalam ibadah haji.
“Dalam hadis disebut Al-Hajju ‘Arafah. Maknanya, kalau kita lihat keseluruhan haji itu, kemuncaknya adalah di Arafah,” katanya.
Menurut beliau, keunikan Arafah ialah semua jemaah diwajibkan berhimpun di satu tempat dan masa yang sama.
“Kalau solat, kita boleh buat di mana-mana. Tetapi di Arafah, semua berada di satu tempat, satu masa. Itu menggambarkan kesatuan umat Islam yang sebenar,” katanya.
Beliau menambah, tempoh wukuf yang singkat perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Masa itu sangat pendek tetapi sangat bernilai. Jangan bazirkan, gunakan untuk doa dan memohon keampunan,” katanya.
Keikhlasan Lebih Utama Daripada Zahir
Menurut Luqman, walaupun jemaah kelihatan sama dalam pakaian ihram, ukuran sebenar ibadah bukan pada luaran.
“Kita semua nampak sama, pakai ihram yang sama. Tetapi di sisi Allah, yang membezakan kita adalah keikhlasan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan atau keselesaan yang dimiliki seseorang tidak menentukan nilai ibadahnya.
“Kita boleh guna kemudahan yang ada, itu tidak salah. Tetapi jangan kita sangka itu penentu nilai ibadah. Yang penting adalah hati,” katanya.
Pengorbanan dan Kerendahan Diri
Luqman berkata, ibadah haji adalah latihan meninggalkan keterikatan kepada dunia.
Jemaah meninggalkan keluarga, rutin harian dan keselesaan hidup demi memenuhi panggilan Allah.
“Itu satu bentuk pengorbanan. Kita datang dalam keadaan sederhana, tidak sempurna, tidak seperti kehidupan biasa kita,” katanya.
Beliau berkata, keadaan fizikal yang letih dan serba kekurangan itu mendidik jiwa menjadi lebih rendah diri.
“Bila kita berada dalam keadaan letih, berdebu, bergantung sepenuhnya kepada Allah… di situlah kita rasa betapa kecilnya diri kita sebagai hamba,” katanya.
Ujian Sebenar: Emosi dan Akhlak
Mengulas cabaran utama jemaah, Luqman menegaskan bahawa ujian sebenar dalam haji adalah mengawal emosi dan menjaga akhlak.
“Kita datang untuk beribadah, bukan untuk bertengkar, bukan untuk menunjukkan sikap tidak sabar,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan sesak dan keletihan, jemaah perlu belajar mengawal diri.
“Bila penat, bila lapar, bila panas… emosi mudah terganggu. Tetapi di situlah kita diuji, sama ada kita boleh sabar atau tidak,” katanya.
“Dalam keadaan sesak, kita belajar bertimbang rasa, memberi ruang kepada orang lain, membantu sesama jemaah,” katanya.
Tambah beliau, perubahan akhlak merupakan indikator sebenar kejayaan ibadah.
“Kalau ibadah kita sempurna, tetapi akhlak kita tidak berubah, kita perlu muhasabah semula. Apa yang kita peroleh daripada haji itu?” katanya.
Haji Mabrur Jadi Matlamat
Luqman berkata, setiap jemaah mengharapkan untuk mencapai haji mabrur dan Haji mabrur ini ganjarannya tidak lain kecuali syurga.
“Ia menuntut keikhlasan, kesempurnaan ibadah dan juga akhlak yang baik sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Persediaan Jelang Wukuf
Menjelang hari wukuf, beliau mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan dengan baik.
“Rehat perlu cukup, minum air secukupnya, dan kurangkan aktiviti yang tidak perlu dan gunakan masa di Arafah sebaik mungkin. Banyakkan zikir, doa dan istighfar,” katanya.
Patuh Peraturan Demi Kelancaran
Luqman turut menekankan kepentingan mematuhi peraturan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Kita perlu faham, mereka mengurus jutaan manusia. Kalau kita tidak patuh, akan timbul masalah,” katanya.
Menurut beliau, sikap disiplin dalam kalangan jemaah sangat penting bagi memastikan kelancaran ibadah.
Permulaan Kehidupan Baharu
Bagi Luqman, ibadah haji bukan penamat, tetapi titik permulaan kepada perubahan diri.
“Haji adalah peluang untuk kita memperbaharui diri… untuk kembali dengan hati yang lebih bersih,” katanya.
Katanya, kejayaan sebenar ibadah haji adalah apabila perubahan itu berterusan selepas pulang ke tanah air.
“Yang penting bukan hanya apa kita lakukan di sini, tetapi bagaimana kita teruskan kehidupan selepas ini,” katanya.