MADINAH: Untuk musim haji tahun ini, kesemua 31,600 jemaah Malaysia berdepan beberapa cabaran sukar sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ini termasuk kesesakan luar biasa dengan kedatangan jutaan jemaah dari seluruh dunia, cuaca panas melampau dijangka sehingga 50 darjah Celcius dan bencana luar jangka.

Namun, cabaran paling getir ialah cuaca panas sepanjang musim haji pada tahun ini di mana pada tahap serius boleh mengundang stres.

Bagaimana cuaca panas ini ada perkaitan dengan stres sehingga membawa kepada masalah kesihatan mental?

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Perlis menjelaskan begini:

"Haji ialah proses yang cukup lama, menguji kesabaran metal dan fizikal. Dalam tempoh yang lama, ditambah pula dengan cuaca panas melampau, kulit jadi kering, mudah alami masalah pernafasan menyebabkan segelintir jemaah boleh hilang kawalan dan mudah marah, yang pada akhirnya boleh mengundang masalah kepada kesihatan mental mereka.

"Keadaan ini boleh mengakibatkan tumpuan kepada haji dan ibadah itu sendiri berkurangan dari segi kualitinya dan apabila itu berlaku, ia berupaya menjadikan jemaah itu murung, keletihan dan tidak bermaya," katanya dalam satu temu bual bersama petugas media, di sini.

Senada dengan kenyataan Dr Mahyin ialah Ketua Unit Kaunseling Sektor Madinah, Syazrina Maria Talib yang mengakui bahawa wujud perkaitan langsung antara stres dan cuaca panas melampau.

"Jemaah haji perlu bersedia mental dan fizikal. Bersedia untuk datang ke Tanah Suci selepas mendapat jemputan. Tetapi apabila benar-benar berada di Tanah Suci dan diuji pula dengan pelbagai cabaran, jemaah mudah stres.

“Dengan berjalan jauh, boleh mengundang keletihan, sakit fizikal. Ditambah pula cuaca panas uji kesabaran, tidak kurang cabaran dalam perhubungan suami isteri dan sebagainya. Ini semua jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin, boleh mengundang stres seterusnya menjejaskan kesihatan mental jemaah,"ujar Syazrina Maria.

Dalam hal ini, Dr Mahyin dan Syazrina memberi nasihat berikut untuk mengawal stres ketika dalam keadaan cuaca panas melampau.

1. Jaga kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.

2. Patuhi arahan dikeluarkan Tabung Haji.

3. Bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal.

4. Ada ilmu dan kesabaran sepanjang masa dalam proses mengerjakan haji.

5. Fahami matlamat datang ke Tanah Suci untuk mendapatkan haji yang mabrur.

6. Elak terdedah kepada cuaca yang panas terik pada tengah hari.

7. Guna semburan air jika kulit dan kepala terasa panas membahang.

8. Minum banyak air, elak kekurangan air dalam badan. 

Daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini, Tabung Haji menerusi saringan yang ketat menapis calon-calon dan memberi keutamaan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Daripada kuota 31,600 jemaah, mereka yang berusia 60 tahun ke atas menyumbang sebanyak 36 peratus.

Baki 64 peratus jemaah adalah mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim ini akan tiba di Madinah pada 9 Mei ini, manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024.

Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun 2024, iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.