Haji: Kerajaan Arab Saudi belum keluarkan kuota jemaah - Marzuk

Muhafandi Muhamad
Mei 3, 2021 23:45 MYT
AHMAD MARZUK: Kita belum dapat lagi tetapi akan penuhi syarat nanti terutama dari segi suntikan vaksin. -Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan kuota untuk rakyat Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, kuota jemaah dijangka berkurangan berbanding 42,000 orang sebelum ini.
“Pihak Tabung Haji telah membuat persiapan awal dengan mengenal pasti nama-nama diutamakan berdasarkan penilaian dan juga faktor kesihatan, tetapi jumlah kuota terkini belum diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Kita belum dapat lagi tetapi akan penuhi syarat nanti terutama dari segi suntikan vaksin.
"Kita sudah bersedia dan KKM juga sudah peruntukkan sebahagian vaksin untuk jemaah haji,” katanya.
Jelasnya lagi, proses vaksinasi terhadap bakal jemaah akan dimulakan sejurus selepas mendapat maklum balas daripada kerajaan Arab Saudi.
Beliau pada masa sama menaruh keyakinan ibadat haji dapat dilaksanakan tahun ini kepada jemaah yang terpilih.
Keputusan kuota jemaah haji juga dijangka akan diketahui dalam masa terdekat.
#Tabung Haji #Arab Saudi #Haji #vaksin #Ahmad Marzuk Shaary #kuota #jemaah haji terpilih