23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Hajiji umum tambahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya untuk belia

Bernama 04/10/2025 | 20:45 MYT
Hajiji berkata, tambahan itu menjadikan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit pada tahun ini. - Foto Facebook/Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN) untuk golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga bermula tahun depan.

Beliau berkata tambahan itu menjadikan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit pada tahun ini.

"Tambahan 10 unit itu untuk orang muda yang susah dan baharu berkahwin kerana faham ada dalam kalangan golongan ini yang baharu mendirikan rumah tangga masih tinggal di rumah keluarga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka, Pitas pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yakin projek LPPB itu akan memberi impak besar termasuk menyediakan peluang pekerjaan, perniagaan dan perkhidmatan yang akan memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat di Pitas.

Beliau berkata projek itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

"Saya dimaklumkan projek ini melibatkan pembinaan 320 unit rumah di tanah seluas 15.21 hektar milik LPPB dan dilengkapi 171 unit kedai," katanya.

Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan membina mini Kompleks Sukan Pitas, terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.

-- BERNAMA




#Hajiji Noor #Rumah Mesra #Sabah Maju Jaya #Belia #Sabah