KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa Johor dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan adalah lebih kepada hak pandangan baginda.

Malah, kata bekas Perdana Menteri itu, kerajaan Persekutuan menggunakan pertimbangan tertentu dalam menentukan sesuatu keputusan selain kepelbagaian tuntutan yang dibuat oleh negeri-negeri.

"Itu hak Sultanlah dia nak kata apa… saya tak boleh nak komen apa. Tapi saya yakin nak dikatakan Johor tak diberikan layanan yang adil, negeri-negeri lain pun boleh komen juga tak dapat layanan yang adil, pasal tuntutan negeri ini pelbagai-bagai.

"Bila kerajaan Persekutuan buat satu keputusan mesti ada pertimbangan tertentu. Jadi, bagi saya itu kenyataan bagindalah, terserahlah kepada pihak pimpinan Perdana Menteri," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program #RuangBelia bersama Muhyiddin anjuran Institut Masa Depan Malaysia di sini, hari ini

Khamis lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang lebih buat pembangunan negeri itu melihat kepada sumbangan hampir RM13 bilion yang diberikan kepada kerajaan hasil dari negeri itu.

BACA: Sultan Ibrahim kecewa, Johor seolah-olah dianaktiri

Baginda dalam masa sama menzahirkan perasaan sedih apabila melihat kepada keadaan beberapa bangunan kerajaan di Johor yang tidak diselenggara dengan baik.

Ini termasuk kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memerlukan penambahbaikan serta sistem yang lebih cekap.