MALAYSIA

Hakim Besar Malaya berikrar laksana pembaharuan bagi tingkat kecekapan mahkamah

Bernama 03/12/2025 | 13:17 MYT
Datuk Hashim Hamzah berkata pelantikannya ke jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman itu hadir dengan tanggungjawab. - Bernama
PUTRAJAYA: Hakim Besar Malaya yang baru dilantik Datuk Hashim Hamzah berikrar untuk memperkukuh sistem penyampaian keadilan dengan menekankan kepentingan hakim menyediakan alasan penghakiman serta mempercepatkan prosiding mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Hashim berkata pelantikannya ke jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman itu hadir dengan tanggungjawab.

"Anda mesti ingat, sebagai Hakim Besar Malaya, bidang kuasa saya luas, meliputi seluruh Semenanjung," katanya sambil menambah terdapat 393 hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman di seluruh Semenanjung Malaysia setakat Oktober 2025.

Menyifatkan tanggungjawab itu sebagai "sukar", namun beliau berkata tugas berkenaan tetap perlu dilaksanakan.

Beliau berkata misi pertamanya ialah memantau para hakim dalam melaksanakan tugas mereka untuk menyediakan alasan penghakiman bertulis, terutamanya bagi kes-kes yang dirayu ke Mahkamah Rayuan.

"Saya melihat ada yang tidak menulis alasan penghakiman. Jika anda tidak menulis alasan itu, ia akan menjejaskan prosiding di Mahkamah Rayuan," katanya sambil menambah beliau tidak mahu perkara itu berlaku.

Beliau yang merupakan Hakim Besar Malaya ke-15 berkata terdapat beberapa kes di beberapa mahkamah khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menyaksikan tarikh pendengaran telah ditetapkan pada 2027 dan 2028, yang disifatkannya sebagai terlalu lama bagi pihak litigan.

Hashim berkata untuk menangani perkara itu, beliau perlu mencari jalan untuk mempercepatkan tarikh pendengaran termasuk kemungkinan meminta lebih banyak Pesuruhjaya Kehakiman.

"Saya akan mencari jalan untuk mempercepatkannya," katanya sambil mengaitkan jumlah kes yang tinggi di mahkamah tertentu dengan peningkatan pertikaian undang-undang.

Hashim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan semua pihak yang terlibat dalam proses pelantikannya sebagai Hakim Besar Malaya.

-- BERNAMA


#Hakim Besar Malaya #Hashim Hamzah #kecekapan mahkamah #prosiding mahkamah