MALAYSIA

Hakim Besar Malaya bersara wajib, tegaskan hakim wanita diberi layanan sama rata

Bernama 14/11/2025 | 15:45 MYT
Hasnah melambaikan tangan pada hari terakhir memegang jawatan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Hakim wanita tidak pernah diberi layanan istimewa atau dipandang berbeza dengan hakim lelaki kerana mereka dinilai berdasarkan prestasi, kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Hashim.


Ringkasan AI
  • Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Hashim, menekankan bahawa hakim wanita tidak diberi layanan istimewa dan dinilai berdasarkan prestasi, bukan jantina.
  • Beliau menyifatkan Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai tokoh luar biasa dalam badan kehakiman Malaysia.
  • Hasnah, yang bersara hari ini selepas mengetuai sebagai Hakim Besar Malaya wanita ketiga, berharap dapat terus menyumbang kepada badan kehakiman dengan membantu melatih hakim.


Beliau berkata peranan itu memerlukan kerja keras, kejujuran dan integriti, serta hakim wanita perlu mempunyai keyakinan yang teguh terhadap kerjaya mereka.

"Hakim wanita telah melakukan perubahan di Malaysia, malah badan kehakiman masih memerlukan banyak hakim wanita," katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman, di sini. Hasnah, 66, bersara wajib hari ini.

Mengimbas kembali kerjayanya sebagai Hakim Besar Malaya wanita ketiga di negara ini, Hasnah berkata beliau berasa bertuah kerana berdiri bersama-sama Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim, serta menyifatkan kedua-dua wanita itu sebagai tokoh luar biasa dalam badan kehakiman.

"Tan Sri Norma dan Tan Sri Zaharah, mereka wanita yang hebat. Saya tidak rasa dapat sampai ke tahap mereka, tetapi saya berbangga dapat berdiri bersama-sama mereka," katanya yang tidak pernah bercita-cita menjadi Hakim Besar Malaya.

Hasnah berkata pada zaman mudanya, beliau sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan, namun akhirnya memilih pengajian undang-undang.

"Saya juga tidak pernah menyangka menjadi hakim di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, tidak pernah terfikir berada di dalam bilik ini (pejabat Hakim Besar Malaya), jadi saya amat berbesar hati (dengan pencapaian ini)," katanya.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata tiada perancangan untuk melanjutkan tempoh lapan minggu bagi hakim menyediakan alasan penghakiman kerana perkara itu telah diurus dalam tempoh ditetapkan dan berjaya menyelesaikan hampir 90 peratus kes.

Berhubung perancangannya selepas bersara, Hasnah yang menjadi hakim selama 15 tahun enam bulan berkata beliau berharap dapat menyumbang lagi kepada badan kehakiman seperti membantu atau melatih hakim.

"Sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Latihan Akademi Kehakiman, satu daripada pencapaian membanggakan ialah dapat melatih hakim. Bagi hakim dan peguam muda, ada banyak cabaran sebelum anda berjaya, tiada jalan pintas, anda mesti bekerja keras," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun dibebani dengan tugas berat, hakim perlu mengurus dan mengimbangi selain menikmati kehidupan mereka, sama ada di rumah bersama-sama keluarga atau di tempat kerja.

Berkongsi tentang cara beliau menikmati kehidupan, Hasnah berkata minatnya terhadap muzik, membaca, memasak, dan menonton filem romantik komedi dapat merehatkan fikirannya setelah seharian bekerja.

"Saya juga melayari TikTok, bukan untuk menonton drama, tetapi untuk melihat resipi masakan kerana saya begitu suka memasak," katanya yang bukan sahaja mahir memasak sambal tempoyak daun kayu dan lemak cili padi, tetapi juga gemar menyediakan masakan barat seperti pasta.

Pada majlis persaraan beliau hari ini, Hasnah turut bertemu dan bersalaman dengan petugas di lobi Istana Kehakiman, jelas tergambar perasaan gembira, lega dan sedih.

"Saya sudah berada di bangunan ini sejak dibuka pada 2003, jadi sangat sedih, tetapi juga saya gembira dan lega kerana dapat melangkah ke lembaran baharu kehidupan," katanya yang meninggalkan bangunan itu pada 4.23 petang.

-- BERNAMA


#Mahkamah Rayuan #TikTok #Hakim Besar Malaya #bidang undang-undang