PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sementara Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, hari ini.

Mohamad Zabidin, 64, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat manakala Mohd Nazlan, 54, mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf pada majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia yang diadakan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan kepada Mohamad Zabidin dan juga surat cara pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan kepada Mohd Nazlan.

Pelantikan kedua-dua mereka berkuat kuasa semalam.

Mohamad Zabidin sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik pada 28 Julai 2006 manakala Mohd Nazlan pula dilantik Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017.

Sementara itu, seramai 11 orang termasuk bekas Pengarah Suruhanjaya Sekuriti, Roz Mawar Rozain menerima surat pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman daripada Tengku Maimun.

Turut menerima surat pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman ialah Timbalan Ketua Bahagian I, Bahagian Guaman di Pejabat Peguam Negara, Azizan Md Arshad; Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy dan Pengarah Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Jamhirah Ali.

Noor Ruwena Nordin yang sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri; Noor Hayati Mat, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur Kementerian Sumber Manusia dan Hakim Mahkamah Sesyen Rozi Bainon turut menerima surat pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Sementara itu peguam yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman ialah Noor Hisham Ismail, Azlan Sulaiman, Leong Wai Hong and Kenneth Yoong.

Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed.

Turut hadir di majlis ini termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Presiden Badan Peguam Malaysia , A G Kalidas.



TAG: Hakim, Pelantikan, Mohd Nazlan. Mohamed Zabidin, Majlis Angkat Sumpah