PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah menarik diri daripada mendengar rayuan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkan beliau terhadap Lim Kit Siang.

Hanipah, mengetuai panel tiga hakim berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana telah mengetuai prosiding semakan kehakiman membabitkan Mohamed Apandi pada 2016 berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Perkara yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dan rayuan ini melibatkan dua isu utama. Isu pertama ialah penggunaan kuasa Peguam Negara (Mohamed Apandi), yang kini menjadi perayu dalam rayuan ini berhubung Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, (melibatkan kuasa Peguam Negara untuk memulakan atau menghentikan prosiding mahkamah jenayah).

"Isu kedua ialah penggunaan kuasa budi bicara perayu atas bantuan undang-undang bersama dan juga membebaskan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku (dalam skandal 1MDB) di Mahkamah Tinggi.

"Memandangkan keadilan bukan sahaja perlu dilakukan tetapi dilihat untuk dilaksanakan... oleh itu, saya menarik diri daripada mendengar rayuan ini demi keadilan," kata beliau selepas membenarkan permohonan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lim supaya hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk M. Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin. Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Sept untuk mendengar rayuan Mohamed Apandi.

Terdahulu, Sangeet memohon hakim itu menarik diri memandangkan Hanipah, yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2016, telah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mencabar keputusan Mohamed Apandi menutup siasatan berhubung skandal 1MDB dan membebaskan Najib daripada sebarang salah laku berhubung penglibatan dalam perkara 1MDB.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu kerana mendakwa memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan artikel bertajuk "Dangerous fallacy to think Malaysia's on the road to integrity" disiarkan portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mohamed Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei tahun lepas.

-- BERNAMA