PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan, demikian Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Muhammad Haniff Khatri Abdullah berhujah di hadapan panel tiga hakim bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga terkhilaf apabila memutuskan penggunaan kedua-dua bahasa itu tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi mengikut Perkara 152 (1)(a) dan (b).

Katanya, sekolah vernakular merupakan pihak berkuasa awam dan sekolah berkenaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengantara pengajaran dan pembelajaran seperti peruntukan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Haniff berkata Hakim Mohd Nazlan turut terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam.

"Bahasa kebangsaan adalah salah satu cara utama dan penting untuk mencapai perpaduan dalam kalangan kumpulan etnik.

"Sistem persekolahan dan penggunaan bahasa yang berbeza sebagai bahasa pengantar telah lama memecah-belahkan kumpulan etika di Malaysia," katanya.

Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Muhammad Haniff, mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), juga berhujah Hakim Mohd Nazlan menafikan hak perayu untuk memanggil saksi bagi memberi keterangan di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau juga berhujah bahawa keputusan membenarkan Skolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terus beroperasi menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar bercanggah dengan dasar yang diluluskan kerajaan.

Perayu-perayu tersebut terdiri daripada MAPPIM, GAPENA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Kempat-empat kumpulan itu memfailkan saman dengan menuntut pengisytiharan bahawa Seksyen 2,17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 membenarkan penubuhan SJKC dan SJKT yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar sebagai bahasa utama tidak selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA.

GPMS tidak memfailkan rayuan.

Pada 29 Mei, tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kota Bahru, Abazafree Mohd Abbas (kini hakim Mahkamah Tinggi) memutuskan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan menolak saman yang difailkan I-Guru berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, MAPPIM dan GAPENA, selaku plaintif, menamakan Kerajaan Malaysia dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya,Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik - MIC, MCA, Gerakan and Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

I-Guru, selaku plantif, menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Kes itu turut membabitkan beberapa pencelah, iaitu Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, MCA dan Dong Zong.

Hakim Supang menetapkan esok untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh bagi meneruskan pendengaran rayuan tersebut.

-- BERNAMA