PUTRAJAYA: Hala tuju baharu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan diumumkan pada sambutan Hari Anugerah PEDi, 29 Nov ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pembaharuan itu seiring dengan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen semalam, yang memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa peranan PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri untuk menyokong pengusaha kecil memasarkan dan menjual produk secara dalam talian.

"... tiba masanya untuk anjakan persepsi dan operasi PEDi, iaitu selain menjadi pusat ekonomi digital turut memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi digital," katanya.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan penutup Hari Sukan Negara (HSN) 2023 KKD di sini hari ini, Fahmi berkata kementerian akan menggunakan peruntukan RM25 juta itu untuk tujuan tersebut.

"Ini supaya ia (PEDi) tidak hanya beroperasi sebagai pusat Internet bagi komuniti tetapi potensi besarnya turut digunakan oleh usahawan setempat untuk menjana pendapatan lumayan dengan beberapa produk baik dan pemasaran utuh, tanpa perlu ke bandar," katanya.

Fahmi turut meminta agensi di bawah KKD mengambil maklum setiap pandangan, teguran dan cadangan tambah baik berhubung Belanjawan 2024 yang akan dikemukakan ahli Parlimen pada minggu yang akan datang.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Penerangan agar menerapkan pengisian supaya rakyat memahami dengan jelas Belanjawan 2024 serta hala tuju kerajaan.

"Saya minta Japen supaya menerapkan pengisian dan juga apa sebenarnya yang diusahakan kerajaan. Kita berada dalam suatu keadaan di mana kita perlu mengubah struktur ekonomi," katanya.

Fahmi berkata Belanjawan 2024 akan menetapkan hala tuju negara selain kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

Sementara itu, mengulas tentang keputusan Ahli Parlimen Kuala Kangsar daripada Perikanan Nasional (PN) Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyokong kerajaan pimpinan Anwar, beliau percaya tindakan tersebut dibuat tanpa paksaan sesiapa.

"Saya lihat beliau (Iskandar) buat secara sukarela. Jadi jangan salahkan kami, kami tiada kaitan dan Perdana Menteri (Anwar) langsung tiada apa-apa perjumpaan. Jangan salahkan kami kalau kamu (PN) tidak boleh kawal ahli-ahli Parlimen kamu," kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau juga menyangkal tanggapan tindakan Iskandar Dzulkarnain itu bersifat politik kerana ketika ini tidak ada perkara yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA