KUALA LUMPUR: Hala tuju industri dan bekalan gula tempatan perlu dilihat bukan hanya pada kadar harga gula di pasaran tempatan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata faktor lain seperti kestabilan bekalan gula mentah import dan kemampanan rantaian industri pembekalan gula diproses tempatan, juga harus diberi perhatian terutamanya pada ketika negara bergantung 100 peratus kepada import gula mentah untuk pasaran domestik.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia berhadapan isu harga gula mentah yang semakin melambung tinggi, malah lebih merisaukan ialah risiko kekurangan bekalan gula global," katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas pertemuan bersama dua pengilang gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery (CSR), yang diadakan di kementeriannya semalam.

Armizan turut memetik artikel Business Mirror yang melaporkan pedagang gula terbesar dunia, Alvean yang meramalkan dunia sedang berhadapan dengan tahun keenam berturut-turut defisit bekalan gula.

"Diramalkan pasaran global akan mengalami peningkatan defisit gula sehingga 5.4 juta metrik tan tahun ini, berbanding defisit 1 juta metrik tan pada tahun lepas.

"Ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca yang tidak kondusif untuk penanaman tebu, isu domestik di negara-negara pengeluar utama seperti India dan Thailand, serta konflik geopolitik yang menyebabkan pengurangan besar penanaman sugar beet sebagai salah satu sumber bekalan gula selain tebu," katanya.

-- BERNAMA