MALAYSIA

Halang Israel jadikan Somaliland Gaza 2.0

Farhan Hakimi 31/12/2025 | 13:59 MYT
Ahmad Fahmi (kanan) berkata, tidak mustahil Somaliland akan menjadi ‘Gaza 2.0’ di rantau Afrika, manakala Prof Madya Dr Abdelrahman percaya Israel mempunyai pertimbangan lain yang lebih menguntungkan di wilayah itu.
KUALA LUMPUR: Rakyat Somaliland diingatkan supaya tidak terjerat dengan strategi rejim Israel ekoran pengiktirafannya terhadap wilayah itu.

Presiden Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin berkata, melihat rekod tindakan Israel di Asia Barat, tidak mustahil Somaliland akan menjadi ‘Gaza 2.0’ di rantau Afrika.

"Memang, dari segi pemerhatian kita, rakyat Somaliland gembira mendapat pengiktirafan ini. Kita sedia maklum bahawa sejak hampir tiga dekad lalu, sejak 1991, mereka tidak menerima sebarang pengiktirafan antarabangsa.

"Maka, dalam hal ini, kita tidak mahu kegembiraan rakyat Somaliland menyebabkan mereka terperangkap dengan strategi yang mungkin digunakan oleh rejim Israel.

"Berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh rejim Israel di Asia Barat, tidak mustahil, dalam konteks Kesatuan Afrika, Somaliland juga berpotensi menjadi Gaza 2.0 dengan pelbagai polemik yang mungkin timbul," katanya.

Sementara itu, pensyarah Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Abdelrahman Ibrahim optimis cubaan Israel menjadikan Somaliland sebagai destinasi pengusiran paksa rakyat Gaza tidak akan berlaku.

Pada masa yang sama, Israel mempunyai pertimbangan lain yang lebih menguntungkan di wilayah itu.

"Ini tidak akan berlaku kerana rakyat Gaza tidak mahu keluar dari tanah mereka. Untuk mereka yang tidak tahu, Somaliland dan Afrika secara umum kaya dengan sumber seperti emas, gas dan mutiara, Israel tentu mempertimbangkan perkara ini.

"Jangan lupa, Somaliland terletak menghadap bandar pelabuhan Aden, Yaman, dan juga berdekatan dengan Selat Bab al-Mandab—laluan perdagangan yang digunakan oleh 90 peratus dunia.

"Kawalan ke atas Selat Bab al-Mandab memberi kesan besar, seperti yang dapat dilihat sekarang apabila Houthi menutup selat tersebut dengan menghalang kapal-kapal Israel dan sekutunya, menyebabkan pelabuhan Eilat di Israel terpaksa ditutup dan harga barangan meningkat.

"Maka jelas, Israel mengambil kira faktor geopolitik, memastikan akses kepada sumber tenaga baharu, dan pada masa yang sama menguruskan masalah mereka dengan lebih strategik," ujar beliau.

Kedua-dua pandangan itu disuarakan dalam program Agenda AWANI hari ini.

Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa (30 Disember) menegaskan bantahan Malaysia terhadap sebarang percubaan untuk mengiktiraf negara yang digelar ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain, sebagai destinasi bagi pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Menurut Anwar, idea-idea sebegini sama sekali tidak boleh diterima kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan, dan hanya akan mengekalkan ketidakadilan tanpa menyumbang kepada keamanan.
#Somaliland #Israel #geopolitik #konflik #Yaman