MALAYSIA

Halang laluan bas: Polis rakam keterangan pemandu bas, pengayuh basikal

Bernama 09/07/2025 | 08:47 MYT
Polis rakam keterangan empat individu berhubung insiden sekumpulan pengayuh basikal menghalang laluan sebuah bas di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur. -Foto media sosial
SHAH ALAM: Polis telah merakam keterangan empat individu berhubung insiden menghalang laluan sebuah bas yang dipercayai melibatkan sekumpulan pengayuh basikal di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur arah Sungai Buloh, pada Ahad lepas.


Ringkasan AI
  • Polis merakam keterangan empat individu berhubung insiden sekumpulan pengayuh basikal menghalang laluan sebuah bas di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur.
  • Dua laporan polis telah dibuat, masing-masing oleh pemandu bas dan seorang penunggang basikal; siasatan masih berjalan dan tiada saman dikeluarkan setakat ini.
  • Kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, dan video insiden tular menunjukkan pertelingkahan yang ditenangkan oleh anggota JPJ.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata pihaknya juga telah menerima dua laporan polis setakat ini, iaitu daripada pemandu bas dan seorang daripada penunggang basikal terbabit.

"Buat masa ini polis telah merakam keterangan empat individu dan tiada saman dikeluarkan memandangkan siasatan masih lagi berjalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Azaharudin dilaporkan berkata polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai terbabit dalam insiden menghalang laluan sebuah bas kira-kira 9.35 pagi Ahad berdekatan lampu isyarat Batu Arang dengan kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.

Terdahulu, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas sebelum ditenangkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

-- BERNAMA





#halang laluan bas #Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur #Rakam keterangan #penunggang basikal