MALAYSIA

Halang laluan lebuh raya: Ejen tarik kereta ditahan

Sinar Harian 03/07/2025 | 08:30 MYT
Tular video memaparkan tiga buah kereta menghentikan kenderaan mereka secara melintang di laluan lebuh raya sehingga menghalang pergerakan trafik. -Sinar Harian
REMBAU: Seorang daripada pemilik kereta yang didapati menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi telah ditahan polis.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 50-an ditahan polis selepas didapati menghentikan keretanya secara melintang di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran R&R Pedas-Linggi, dipercayai bertindak sebagai ejen tarik kereta.
  • Video kejadian berdurasi 35 saat tular menunjukkan tiga kereta menghalang laluan trafik, dan polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang awam diminta tampil membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek merupakan ejen tarik kereta dan bertindak demikian kerana mahu menarik sebuah kereta. Mereka tahan sekejap sahaja.

“Seorang daripada pemilik tiga kenderaan itu telah ditahan dan kami sedang memburu suspek lain yang masih bebas,” katanya pada Khamis.

Pada Rabu tular video berdurasi 35 saat memaparkan tiga buah kereta menghentikan kenderaan mereka secara melintang di laluan lebuh raya sehingga menghalang pergerakan trafik.

Hasani berkata, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang tindakan yang mengganggu keselamatan dan kelancaran trafik.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Noor Fathiah Ak'Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519, atau menghubungi terus Bilik Gerakan IPD Rembau di 06-6851999. -Sinar Harian





#Halang laluan lebuh raya #Lebuhraya Utara-Selatan #Ejen tarik kereta ditahan