KUALA LUMPUR: Gara-gara menghalang tugas dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengeluarkan kompaun ke atasnya, seorang pemilik restoran dipenjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim menjatuhkan hukuman itu terhadap Benjamin Joseph Peter, 48, selepas dia mengaku bersalah menghalang Zuebadreiza Badruldin, 47, dan Luqmanul Hakim Abdul Hadi, 27, daripada menjalankan tugas mereka di sebuah restoran di Jalan Sri Jati, Taman Sri Jati, di sini pada 1.21 tengah hari, semalam (26 Ogos).

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula hari ini dan dipenjara dua minggu lagi sekiranya beliau gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah membuat provokasi dengan memaki dan menghalang kedua-dua anggota terbabit daripada menjalankan tugas ketika mereka mengeluarkan dua kompaun terhadap tertuduh atas kesalahan meletakkan gerai roda tiga di kaki lima premis dan gagal menyediakan buku daftar,

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dan memohon maaf atas perbuatannya, namun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

"Dalam kes ini pengadu hanya menjalankan tugas namun telah dimaki dengan kata-kata kesat oleh tertuduh," kata Abdul Khaliq.

-- BERNAMA